Saturday, March 21, 2015

Pelaksanaan Undang-undang Islam

Isu pelaksanaan atau bakal pelaksanaan kanun jenayah yang terkandung dalam undang-undang Islam atau ringkasnya hudud, membangkitkan bermacam pendapat yang tidak bersetuju, menentang atau menyokongnya. Rata-rata rakyat bukan Islam, khususnya parti-parti politik sama ada yang bergabung dalam Barisan Nasional ataupun pakatan pembangkang, membantah. Sebuah parti politik yang majoriti pemimpin dan ahli beragama Islam, iaitu Parti KeAdilan Rakyat (PKR) pun menyatakan tidak setujunya.

Mereka berbuat atau berpendirian demikin kerana tidak faham apa itu hudud, tidak bersetuju kerana ia sebahagian daripada undang-undang Islam dan mempertahan undang-undang sekular. Selain itu, kepentingan politik kepartian juga menjadi penghalang.

Apa itu undang-undang Islam? Persoalan ini harus difahami terlebih dahulu sebelum memperkatakan mengenai hudud. Malaysia telahpun melaksana undang-undang Islam di semua negeri dan ini dapat dilihat daripada wujudnya Mahkamah Syariah yang memberi tumpuan khusus kepada isu nikah cerai, pembahagian harta dan soal yang berkaitan keluarga Islam. Yang belum dilaksana hanyalah kanun jenayah kerana isu itu tertakluk kepada bidang kuasa Kerajaan Persekutuan.

Harus diingat bahawa Perlembagaan adalah undang-undang utama Persekutuan dan kanun jenayah termasuk dibawah bidang kuasa Polis Di-Raja Malaysia, iaitu sebuah institusi  Kerajaan Persekutuan. Jika mana-mana negeri ingin melaksana kanun jenayah Syariah, maka ia perlu mendapat kelulusan Dewan Undangan Negeri dan kemudian Parlimen. Ini kerana ia melibatkan bidang kuasa Persekutuan dan Parlimen perlu meluluskan pindaan undang-undang dengan majoriti dua pertiga ahli Dewan Rakyat. Sama ada pihak yang bakal membawa usul berkaitan pelaksanaan hudud di Kelantan akan mendpat sokongan Dewan Rakyat atau tidak, atau sama ada usul tersebut diterima terlebih dahulu oleh Speaker menjadi satu tanda tanya. 

Suka atau tidak, seorang yang mengaku dirinya Muslim, semestinya tidak ragu-ragu menerima hukum Islam, iaitu undang-undang Syariah pada keseluruhannya. Yang menjadi musykil dikalangan khalayak ialah sama ada pihak yang ingin melaksana kanun jenayah Syariah benar-benar bersedia dan mampu melaksanakan seperti yang dikehendaki oleh Islam.

Seperti yang pernah dijelaskan oleh almarhum Prof. Tan Sri Ahmad bin Mohamad Ibrahim, mantan Dekan, Kuliyyah Undang-undang, Universiti Islam Antarabangsa, hukum Islam berpunca daripada ajaran-ajaran yang diturunkan sebagai wahyu kepada Nabi Muhammad (S.A.W.). Baginda berada dalam masa yang bersamaan dengan abad yang ketujuh Masehi dan agama Islam dan prinsip-prinsip hukum Islam telah ditentukan pada masa wafatnya Baginda pada tahun 682 Masehi. Hukum Islam kemudian  diperkembangkan oleh Khulafa Rasyidin dan Tabi'un. Satu dan dua abad selepas kewafatan Baginda, mazhab hukum telah berkembang. Menurut Prof. Ahmad Ibrahim, bentuk dan prinsip-prinsip hukum Islam telah ditetapkan dalam abad kesembilan tahun Masehi.

Mengikut sejarah perkembangan hukum Islam boleh dikatakan, pada amnya prinsip dan dasar hukum Islam telah ditentukan pada abad yang kesembilan, dan telah dijelaskan dengan sepenuhnya dalam abad yang ke-13 Masehi. Sama ada ia telah melalui pindaan atau ditokok tambah sepanjang tempoh selepas kewafatan Nabi Muhammad (S.A.W.) tetap bermain dalam fikiran kerana pelaksanaan kanun jenayah Syariah atau hudud berbeza mengikut fahaman dan penguatkuasaannya. 

      

No comments: